Sunday, July 9, 2017

Apakah semua hadith telah sempurna ditadwin (dihimpun dalam buku) pada masa Imam al-Syafii?

SAYA DITANYA

Semalam saya beraya di rumah seorang sahabat di kawasan Sungai Buloh. Perbualanan kami tentang isu-isu semasa membawa beliau kepada satu soalan: Apakah semua hadith telah sempurna ditadwin (dihimpun dalam buku) pada masa Imam al-Syafii? Adakah sebuah hadith yang menjadi dalil ulama terdahulu namun tidak terdapat dalam kitab-kitab hadith hingga hari ini?”

Saya menjawab:
Soalan ini sangat sering saya hadapi. Sebelum ini, seorang sahabat di Indonesia dan Singapura turut mengajukan soalan yang sama. Perkara ini menarik minat saya untuk menuliskan jawapan ini agar mudah dirujuk pada masa akan datang.
Tadwin hadith secara kolektif bermula pada abad pertama hijrah, iaitu apabila Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz (m.101 H) memerintahkan Ibn Syihab al-Zuhri (m. 124 H) untuk menulis hadith-hadith yang beliau miliki. Perintah ini dikeluarkan antara tahun 99 hingga 101 H kerana kerana tempoh pemerintahan Umar hanya dua tahun itu sahaja.
Oleh yang demikian, pada tahun kelahiran Imam al-Syafii, iaitu 150 H, tadwin telah berusia 50 tahun. Selama tempoh masa ini, para ulama telah dan terus menulis hadith-hadith yang mereka miliki dalam kitab-kitab karangan mereka yang bertajuk Muwatta, Musannaf, Jami‘  dan lain-lain. Apabila Imam al-Syafii menetap di Mesir dan menulis kitab al-Risalah, iaitu pada tahun 200-204 H, tadwin kurang lebih telah berusia 100 tahun.
Bagaimana Imam al-Syafii melihat proses tadwin yang telah berlalu satu abad ini? Saya menemukan ucapan beliau yang mengulas perkara ini dalam al-Risalah. Secara ringkasnya, beliau berpendapat bahawa semua ulama telah menghimpun semua hadith secara kolektif, namun belum ada seorang pun yang menguasai semua hadith tersebut secara individu. Dalam kata-kata beliau sendiri:
والعلمُ به عند العرب كالعلم بالسنة عند أهل الفقه، لا نعلم رجلاً جمع السنن فلم يذهب منها عليه شيءٌ. فإذا جُمع علم عامة أهل العلم بها أتى على السنن، وإذا فُرّق علم كل واحد منهم ذهب عليه الشيء منها، ثم ما كان ذهب عليه منها موجوداً عند غيره.
“Ilmu tentang (bahasa Arab) di sisi bangsa Arab seperti ilmu tentang sunnah di sisi ahli fiqh. Kami tidak mengetahui seorang tokoh pun yang telah menghimpun semua sunnah sehingga tidak luput satu pun daripada dirinya. Apabila dihimpun semua ilmu para ulama tentang sunnah, semua sunnah akan terhimpun. Apabila diceraikan ilmu setiap orang daripada mereka, mereka akan kehilangan sebahagian sunnah, akan tetapi apa yang hilang itu dimiliki oleh ulama yang lain.” (al-Risalah h. 43).
Ucapan ini jelas menunjukkan pandangan beliau bahawa semua hadith telah terhimpun pada masa itu. Tiada satu pun yang tertinggal daripada perhatian seluruh umat, walaupun sesetengah hadith mungkin terlepas daripada perhatian tokoh-tokoh ulama tertentu.
Jika proses tadwin  telah sempurna selepas 100 tahun sejak ia dimulakan, maka tiada lagi penambahan ataupun pengurangan hadith selepas itu. Maknanya, hadith yang datang kemudian dipastikan bukan hadith. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Imam al-Baihaqi (m. 458 H) pada abad kelima hijrah. Apabila mengulas tentang tentang status perawi mubham dalam hadith-hadith yang diriwayatkan oleh al-Syafii, beliau berkata:
...وهو أنّ الأحاديث التي قد صحَّت أو وقعت بين الصحة والسقم - وقد دُوِّنت وكتبت في الجوامع التي جمعها أئمة أهل العلم بالحديث، ولا يجوز أن يذهب شيء منها على جميعهم، وإن جاز أن تذهب على بعضهم؛ لضمان صاحب الشريعة حِفْظَها، فمن جاء اليوم بحديث لا يوجد عند جميعهم، لم يقبل منه، ومن جاء بحديث هو معروف عندهم، فالذي يرويه اليوم لا ينفرد بروايته، والحجة قائمة بحديثه برواية غيره...
“...iaitu bahawa hadith-hadith yang sahih atau terletak di antara sahih dan lemah telah dihimpun dan ditulis dalam kitab-kitab para imam ahli hadith, tidak mungkin ada yang terlepas daripada pandangan mereka semua walaupun boleh terlepas ke atas sesetengah mereka, kerana jaminan pemilik syariah (Allah) yang akan menjaganya. Maka, siapa yang meriwayatkan sebuah hadith yang tidak dijumpai di sisi mereka semua, maka tidak diterima daripadanya. Dan siapa yang meriwayatkan sesuatu hadith yang dikenal dalam kalangan ulama, maka perawinya tidak bersendirian pada hari ini. Hujah telah tertegak dengan riwayat orang selainnya … (Manaqib al-Imam al-Syafii 2:321)
Ucapan Imam al-Syafii dan al-Baihaqi di atas turut disokong oleh para ulama ahli usul dan fiqh daripada kalangan mazhab Syafii dan lain-lain seperti Taj al-Din al-Subki,  Badruddin al-Zarkasyi, Ibn al-Jawzi, al-Hafiz al-Suyuti, Ibn ‘ Arraq al-Kinani, Waliyullah al-Dihlawi,  dan lain-lain. Ucapan para ulama ini dinukil dan disokong oleh ahli hadith-sufi dari Maghrib, iaitu al-Hafiz Ahmad bin Siddiq al-Ghumari dalam Al-Muthnawni wa al-Battar h. 28-30.
Sebagai jawapan atas soalan yang diajukan, saya menegaskan bahawa semua hadith telah dihimpun oleh para ulama tanpa satu hadith pun yang terluput. Fakta ilmiah ini sekaligus membantah pandangan spekulatif yang menyatakan bahawa terdapat hadith-hadith tertentu yang menjadi dalil seorang ulama pada zaman dahulu namun tidak sampai kepada kita. Jika ia benar-benar hadith, tidak mungkin ahli hadith selama 13 abad sepakat mengabaikannya. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment